Friday, January 21, 2011

CABARAN WANITA MUSLIM

"Dakwah secara umumnya ditakrifkan sebagai menyeru orang kepada jalan Allah s.w.t. atau kepada menghayati ajaran agama Islam. Islam adalah satu ad-diin, yakni satu cara hidup berdasarkan kepada ajaran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. Islam adalah agama kebenaran yang memberi asas bagi menjamin keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia.

Mengamalkan ajaran Islam melahirkan seorang yang beriman dan mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t., yakni mempercayai akan Allah serta tunduk kepada-Nya dengan menurut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan suatu masyarakat yang hidup dalam keadaan bermoral, berdisiplin serta adil dan aman.Setiap wanita Islam mesti komited kepada agamanya dan mempraktikkan cara hidup yang Islamik.



Selain daripada melaksanakan rukun Islam dan menghayati rukun Iman, wanita Islam juga mesti mengetahui adab perhubungan dengan kaum lelaki; hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga seperti hal perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, perhubungan ibu bapa dan anak-anak dan perhubungan dengan saudara-mara yang lain; serta peraturan hidup seharian dari segi pemakanan, berpakaian, pembelajaran, pekerjaan, urusan wang dan harta, dan sebagainya. Persiapan diri dalam bidang agama

Wanita muslim perlu mempersiapkan diri mereka dari segi spiritual, mental dan fizikal ke tahap yang terbaik mungkin supaya mereka dapat menghadapi dan melaksanakan perjuangan mereka dengan efisien dan efektif. Tiga aspekutama yang perlu diberi perhatian termasuklah persiapan :
• (i) iman

• (ii) ilmu

• (iii) akhlak
Iman
Keimanan yang kuat akan mewujudkan jiwa yang berkeyakinan, bernilai dan mempunyai daya gerak diri sendiri sehingga mereka dapat melaksanakan tugas-tugasnya tanpa merasa takut, cemas, gentar dan tanpa terlampau mempersoalkan keuntungan dunia yang akan diperolehi. Iman yang mantap dapat dicapai dengan memahami serta menghayati rukun iman

Ilmu
Ada dua jenis ilmu yang dituntut oleh setiap individu Muslim iaitu :
• ilmu aqliah yakni ilmu fardhu `ain (bererti yang tentu dan pasti) yang menyentuh soalan-soalan tentang siapa dan apakah manusia itu, apakah asal dan kesudahannya dan apakah sifat hubungannya dengan manusia lain, dengan alam sekelilingnya dan dengan Tuhan, serta merangkumi hukum-hukum wajib,haram, sunat dan makruh melalui sumber-sumber Al-Quran, As-Sunnah, ijtihad dan ijmak ulama;

• ilmu naqliah yakni ilmu fardhu kifayah (bererti ilmu yang mencukupkan atau melengkapkan kehidupan) yang merujuk kepada segala jenis ilmu berkenaan kehidupan yang diperlukan untuk kesejahteraan sesebuah masyarakat seperti ilmu perubatan, pertanian, perniagaan, kejuruteraan, masakan, jahitan dan sebagainya.

Individu berilmu akan mempunyai sifat-sifat berikut :
• ia berpengetahuan, mampu berfikir,menggunakan ilmu yang ada untuk menerima dan menghadapi masalah serta menyelesaikannya

• ia berkemahiran, menjadi bijak serta mempunyai daya pemikiran yang tersusun secara sistematik, lantaran dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan baik

• ia mempunyai akhlak - sikap, budi pekerti yang luhur, yang boleh menjamin keselamatannya dan mereka yang ada di sekelilingnya.


Akhlak
Akhlak ialah segala gerak dan langkah yang berkait dengan perhubungan dan pertuturan atau cara laku seseorang berinteraksi dengan individu ataupun makhluk lain dalam apa jua keadaan. Sementara personaliti atau peribadi ialah cara seseorang memperlihatkan dirinya yang memberikan gambaran imej atau identitinya. Sifat-sifat personality yang positif seperti riang, suka bekerjasama, ramah mesra, cergas, rajin, peka, bertanggungjawab, berani,sabar dan amanah.Peribadi yang baik dapat dibentuk dengan dua syarat:
• mesti mempunyai kemampuan untuk berperibadi tinggi

• ada sebab atau keyakinan tentang kenapa mesti mempunyai peribadi yang cemerlang iaitu sebab pertama ialah kerana Allah s.w.t dan sebab kedua ialah peribadi yang baik akan membuatkan ia seorang yang bahagia dan bersifat aman dan damai. Personaliti seseorang individu yang cemerlang dapat juga dinatijahkan daripada kemantapan iman dan ketinggian ilmu dan akhlaknya.

Peranan wanita dalam gerakan dakwah
Wanita seharusanya memainkan peranan dakwah yang lebih berkesan dalam masyarakat. Ini memandangkan kerana:

• potensi mereka sebagai hampir separuh daripada populasi,

• kedudukan mereka sebagai ibu yang berterusan mendampingi anak-anaknya,

• penglibatan mereka sebagai isteri yang mampu mewujudkan sistem sokongan kepada perjuangan suami-isteri,

• peranan mereka sebagai pembawa lambang Islam melalui pakaian mereka

• potensi keintelektualan mereka yang mampu membawa risalah Islam di peringkat mental yang tinggi dan membentuk ummah yang bertaqwa, melaksanakan tugas dan tanggungjawab

• komunikasi efektif antara individu

• berfikir tinggi, kreatif, kritikal dan analitikal

• menyelesaikan masalah dan konflik secara bijaksana.


Maka, setiap wanita seharusnya melibatkan diri dalam organisasi dakwah se-awal yang mungkin supaya pengalaman berorganisasi dalam dapat mendedahkan kepada pelbagai kemahiran kepimpinan Islam tidak menghalang wanita daripada berinteraksi dengan kaum lelaki dengan syarat:
• maruah dan dirinya dijaga iaitu mereka tidak bersendirian di tempat yang gelap dan sunyi yang boleh mendatangkan fitnah atau menggugat keselamatannya

• percakapannya tidak lemah-lembut sehingga boleh menimbulkan nafsu, pakaiannya menutup aurat dan tidak mengghairahkan

• mereka berinteraksi dengan mempunyai tujuan yang khusus dan baik dan bukannya hanya untuk bersuka-ria.

Cabaran wanita dalam bidang kerjaya
Wanita muslim professional pasti melalui proses pembelajaran sama ada secara formal di institusi pengajian atau secara informal dalam satu jangkamasa yang agak lama. Islam tidak melarang wanita profesional daripada memberi partisipasi yang aktif di luar rumah selagimana martabat dan maruah mereka dijaga; keimanan dan ketaqwaan mereka tetap diperkukuhkan; dan tujuan bekerja kerana hendak mencari keredhaan Allah s.w.t. serta membantu membangunkan umat Islam yang lain. Sejarah Islam telah meriwayatkan beberapa sahabiyat yang bergerak aktif umpamanya:

• Sayyidatina Khadijah bekerja sebagai peniaga

• Nusaybah Ummc Ammarah berjuang semasa Peperengan Uhud

• Asma' AbuBakar memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah

• Sayyidatina Aisyah sebagai seorang ilmuan Quran, hadith, faraid, fiqh kedoktoran dan syair.

Penglibatan dan perkhidmatan wanita professional dalam masyarakat juga diperlukan terutamanya untuk membantu dan membangun hal-ehwal yang berkaitan dengan wanita dari segi peribadi, rumahtangga, kesihatan, pendidikan dan sosial. Contohnya memberi bantuan dan kaunseling kepada wanita yang bermasalah disebabkan penceraian, ketagihan dadah, keruntuhan moral dan seumpamanya. Sebaik-baik orang yang dapat membantu menyelesaikan masalah wanita adalah wanita sendiri. Wanita lebih memahami keperluan, cita rasa, sikap dan tingkahlaku orang sejenisnya. Ini membolehkan wanita mendapatkan penyelesaian sesuai dengan nalurinya.

Seorang wanita muslim yang ingin melangsungkan perkahwinannya mestilah dengan tujuan yang baik serta melalui proses-proses yang dibenarkan syarak umpamanya ia berkahwin dengan seorang lelaki muslim yang warak dan sekufu dengannya, meminta mahar yang tidak membebankan pihak lelaki, mengadakan kenduri yang sederhana dan tidak berunsurkan maksiat. Sebagai isteri yang solehah ia akan menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya dan mematuhi perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak melanggar hukum syarak. Perkahwinan yang diredhai ialah yang dilandaskan kepada agama Islam dan kebahagiaan rumahtangga dapat dikecapi dengan membina kasih-sayang, hormat-menghormati, faham-memahami dan toleransi di antara satu sama lain. Secara tradisinya wanita memainkan dua peranan penting iaitu sebagai isteri dan ibu, dan sebagai anggota masyarakat. Wanita yang berkeluarga wajib mendapat keizinan daripada suaminya untuk bekerja di luar rumah dengan memilih kerjaya yang sesuai dengan nalurinya sehingga tidak menjejaskan sifat kewanitaan, maruah dan keselamatan dirinya. Mereka terpaksa memberikan banyak pengorbanan tenaga dan masa untuk menguruskan rumahtangga di samping menjalankan tanggungjawab di tempat kerja dan berdakwah. Oleh itu mereka perlu sentiasa tabah dan pandai menghadapi sebarang tekanan jiwa, mental dan fizikal. Untuk membolehkan mereka bergerak secara lebih efektif dan efisien mereka mesti mempunyai:
• disiplin diri dan masa yang konsisten

• pengurusan masa yang baik

• keimanan yang tinggi.

Wanita professional yang berkeluarga juga harus meminta bantuan daripada kaum lelaki supaya mengambil bahagian yang lebih aktif untuk melaksanakan kerja rutin dan manual di rumah, lantaran mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh kaum wanita. Contohnya tugas-tugas yang memerlukan tenaga fizikal diberikan kepada kaum lelaki seperti mencuci lantai, memesin rumput, berbelanja di pasar atau kedai, dan sebagainya.

Semasa ibu-ibu sibuk di dapur, para bapa bolehlah melayani anak-anak mereka, pastikan mereka sudah mandi, buat kerja sekolah dan lain-lain lagi. Hal ini tidak lagi dipandang kekok oleh masyarakat jika dibandingkan di zaman dahulu di mana kaum lelaki yang membantu kerja-kerja rumah dianggap isterinya "queen control".

Kaum bapa harus menukar sikap dengan menerima sebahagian tugas rumahtangga sebagai sebahagian tanggungjawab mereka. Anak-anak juga harus dilatih supaya lebih berdikari dan bertanggungjawab dengan meminta mereka menjalankan kerja-kerja ringkas di rumah seperti mengangkat bungkusan sampah dari dapur, menyediakan dan membersihkan tempat makan, mengangkat pinggan sendiri, terlibat dengan mengemas dan membersihkan rumah dan sebagainya.
Wanita bekerja yang berumahtangga dan mempunyai anak perlu mengatur hidupnya serta menentukan prioriti supaya perkara-perkara yang patut dilaksanakan tidak terabai. Perlu juga diingatkan bahawa masyarakat memerlukan juga khidmat dan sumbangan daripada kaum wanita dalam bidang professional, perkhidmatan dan sosial untuk melayani dan memenuhi keperluan wanita dalam pelbagai bidang sosio-ekonomi, kesihatan, pendidikan dan politik. Yang berkebolehan, berkelayakan haruslah tampil ke depan dan diberi peluang serta sokongan oleh masyarakat. Sebagai kesimpulannya wanita Islam yang professional boleh dilihat dari sudut yang positif. Dengan adanya wanita professional kita:
• menyumbang tenaga manusia untuk pembangunan masyarakat;

• meningkatkan lagi status wanita dan memajukan diri kita sebagai insan intelek

• menjamin bahawa hal-ehwal dan keperluan wanita amnya diberi perhatian dan layanan.

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...