Daisypath Happy Birthday tickers

Saturday, November 5, 2011

IHSAN



MAKNA IHSAN
                Perkataan “Ihsan” boleh diertikan sebagai berbuat baik dalam melakukan sesuatu perkara dan perkataan ini adalah berlawanan dengan perkataan “ Isa’ah” yakni keburukan. Sebenarnya masyarakat kita sering melafazkan ihsan dalam banyak aspek kehidupan mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T sentiasa menyuruh kita supaya bersifat ihsan dalam kehidupan sehinggakan Allah berjanji untuk memberi balasan dengan ganjaran pahala yang setimpal dengan amalannya iaitu syurga Allah yang amat dinantikan oleh semua manusia di akhirat kelak. Ini adalah bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat : 26 yang bermaksud:

“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalan baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga mereka kekal didalamnya selama-lamanya.”
                Sifat itu sepatutnya dimiliki oleh setiap insan di dalam melakukan ibadah kepada Allah S.W.T untuk menjadi umat Islam yang cemerlang. Apabila kita melakukan setiap ibadah seolah-olah macam kita lihat Allah, tetapi sudah pasti kita tidak dapat melihat Allah bahkan yang pasti ialah Allah sentiasa melihat kita. Jadi sudah tentu kita akan melakukan ibadah tersebut dengan cara bersungguh-sungguh. Ini bersesuaian dengan apa yang diterangkan oleh Rasulullah S.A.W kepada Jibril a.s dalam satu hadis yang panjang seperti mana yang telah diriwayatkan oleh muslim yang bermaksud :

 “ Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya ia melihat engkau.”
IHSAN DALAM AMALAN
Ihsan dalam amalan ini bermaksud setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah bertepatan dan berlandaskan kepada apa yang disyariatkan oleh Allah serta apa yang dibawa oleh baginda Nabi S.A.W.Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat:112 yang bermaksud:

“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahnya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya disisi tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.
Ihsan dalam perkataan
                Ihsan dalam perkataan bermaksud apabila kita hendak mengeluarkan perkataan atau bercakap, maka hendaklah dibuat saringan terlebih dahulu di dalam pemikiran kita, samada setiap perkataan itu boleh mendatangkan manfaat atau sebaliknya. Kerana semua manusia pada asasnya inginkan orang lain bercakap kepadanya dengan baik dan lemah lembut, maka tidak dapat tidak, ia perlulah melalui dari dalam dirinya sendiri terlebih dahulu untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat : 83 yang bermaksud:

“…. Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik…)

IHSAN KEPADA MANUSIA
                Suruhan untuk melakukan ihsan sesama manusia merupakan suatu tuntutan daripada Allah S.W.T kerana ada kalanya ihsan itu adalah wajib, seperti bersifat ihsan kepada kedua ibubapa serta kaum kerabat seperti mana firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat :36 yang bermaksud.

“ Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat….)”

    Allah S.W.T memerintahkan supaya manusia sentiasa melakukan ihsan kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat samada dalam keadaan senang atau pun susah, sihat ataupun sakit, ihsan ini boleh dilakukan dengan melaksanakan kebaikan kepada mereka dan menghindarkan keburukan dan kemudaratan terhadap mereka.

    Adapun ihsan sesama manusia ada kalanya tidak diwajibkan oleh Allah, tetapi sangat disukai olehnya seperti melakukan sedekah dan sebagainya.
Ihsan kepada haiwan
     Bersifat ihsan kepada haiwan juga merupakan satu tuntutan kepada kita, samada binatang itu halal dimakan atau sebaliknya. Ianya boleh disembelih atau pun tidak, ini bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

” Dari Abu Yakli Sadad bin Usa dari Rasulullah S.A.W katanya : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesautu apabila kamu membunuh maka elokkanlah pembunuhan  dan apabila menyembelih maka elokkanlah penyembelihan dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya”.





TAUBAT
        Keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa besar melalui jalan ilmu, penyesalan dan niat untuk tidak mengulanginya.
        Firman Allah SWT:
       Maksudnya: "dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang    mukmin, semoga kamu mendapat kemenangan."                (Surah an-Nur:31)

        Hukum Dosa kecil:
       Akan terhapus dengan memperbanyakkan zikir, istighfar, tahmid dan   berwuduk
Takut kepada Allah
      Apabila seseorang muslim itu mengenali Dzat Allah melalui sifatnya maka akan timbul rasa takut kepada Allah.
  Firman Allah:
 Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah ialah hamba-hambanya yang berilmu(ulama')."
      (Surah al-Fatir: 28)
      Dengan adanya perasaan takut ini akan menyebabkan seseorang itu meningkatkan amal ibadat kepada Allah dan meninggalkan segala bentuk larangan Allah.
MAHABBAH
  Kasih kepada Allah dipuji oleh syarak dan dimuliakan oleh Rasullullah SAW.
 Firman Allah:
      Maksudnya: " Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
      (Surah Ali Imran: 31)
      Mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya dapat melahirkan jiwa yang benar-benar beriman dan sanggup berjihad demi agama.


ZUHUD
     Merupakan corak kehidupan insan mukmin yang mengekang jiwa daripada segala bentuk kesenangan dunia sambil berusaha meninggalkan perkara yang tidak baik.
     Tanda-Tanda Zuhud :
ž  Tidak terlalu gembira apabila mendapat sesuatu dan tidak terlalu sedih apabila kehilangan sesuatu
ž  Sentiasa memandang sama kepada orang yang memuji dan mencela
ž  Sentiasa berasa tenang ketika beribadat dan hati sentiasa terdorong untuk melakukan ketaatan.
SABAR
      Firman Allah:
      Maksudnya: " Dan Kami(Allah) akan memberikan balasan kepada orang yang bersabar itu pahala, menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya."
                                                                                                  (Surah al-Nahl: 96)
     Sabar ini susah untuk diamalkan melainkan mereka yang kuat imannya seperti sabar dalam melakukan ketaatan. Sebagai contoh sabar dalam solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dan sebagainya. Sabar juga dapat menjauhkan diri daripada sifat sombong, mengumpat, bercakap yang sia-sia dan sebagainya. Bersabar terhadap perkara seperti musibah, kemalangan dan sakit juga adalah sesuatu sifat yang mulia.
SYUKUR
Firman Allah:
                Maksudnya: "Maka ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan syukuri nikmat-Ku dan jangan sesekali kamu kufur."
                                                                                      (Surah al-Baqarah: 152)
   Firman Allah lagi:
                Maksudnya: " Dan (ingatlah) takkala tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
                                                                                    (Surah Ibrahim: 7)

        Syukur itu meliputi ilmu,amalan dan suasana. Ilmu dapat mengenal Allah melalui nikmat-Nya, amalan pula adalah dengan melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah, dan suasana menimbulkan kegembiraan atas nikmat yang dimiliki.
IKHLAS & BENAR
                Mereka yang membersihkan amalannya dinamakan orang yang ikhlas. Untuk mencapai tahap ini amat dituntut untuk mematahkan dorongan hawa nafsu dan kasihkan dunia. Amalan yang ikhlas dan suci dalam perbuatan, tutur kata dan ibadat akan mendekatkan diri dengan Allah. 

                Firman Allah:

                Maksudnya: " Kecuali orang yang bertaubat, membuat kebaikkan dan berpegang teguh kepada Allah serta mengikhlaskan agamanya kerana Allah."
                (Surah an-Nisa': 146)

Hakikat Benar
ž  Benar dalam menepati janji
ž  Benar dalam perkataan
ž  Benar dalam niat dan kehendak
ž  Benar dalam keazaman
ž  Benar dalam amalan
                Hadis Nabi SAW:
                Maksudnya: " Sesungguhnya kebenaran itu menbawa kepada kebajikan dan kebajikan itu membawa ke syurga."





TAWAKAL
                Meletakkan kebergantungan hanya kepada Allah setelah berazam dan diikuti dengan usaha. 
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: " Apabila kamu berazam, maka bertawakallah kepada Allah."
                                                                        (Surah Ali Imran: 159)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
                  " Orang (yang metaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada yang mengatakan: " Sesungguhnya orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", Maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."
                                                                     (Surah Ali Imran: 173)
Redha dengan   Qada’ & Qadar
                Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita sama ada baik atau pun buruk maka hendaklah diterima dengan hati yang tenang dan sabar serta tidak ada keluh kesah atau penyesalan darinya. Bukan menjadi sesuatu yang mudah untuk mencapai tahap maqam yang sebegini tinggi. Namun dengan didikan rohani yang bersungguh-sungguh sifat murni ini akan dimiliki.

Firman Allah SWT:
                Maksudnya: "Allah telah redha akan mereka, dan mereka pula redha dengan Allah, itulah sifat orang yang takut akan Tuhannya."
                                                                                  (Surah al-Bayyinah: 8)
MENGINGATI MATI
Hadis Nabi SAW yang bermaksud:  
    " Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana."
Firman Allah SWT:
     Maksudnya: " Katakanlah bahawasanaya maut yang kamu sekalian ingin lari daripadanya itu pasti mendatangi kamu, kemudian kamu sekalian akan dikembalikan kepada Dzat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata. Kelak dia akan memberitahu kamu segala yang telah kamu lakukan."                                                        (Surah al-Jumu'ah: 8)

                Dengan mengingati mati sebagai penyudah kepada kehidupan maka individu muslimin dan muslimah akan sentiasa melakukan perkara kebaikkan dan meninggalkan tegahan Allah.
Gemar Makan & Minum
ž  Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
ž  Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
ž  Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.
                Hadis Nabi saw maksudnya ” Yang terlebih Afdhal(utama) pada Allah swt ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.
Banyak berkata  yang sia-sia
                Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
                Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan2 mereka, melainkan bisikan2 daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”- Surah AnNisa :114
MARAH
                Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya  didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.
                Rasulullah S.A.W. bersabda, “Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Hasad,dengki & Iri hati
                Sifat di atas lahir  daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.
     Hadis Nabi saw yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

Kasih pada harta
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.
TAKBUR
                Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti  nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.
                Daripada Abdullah Bin Mas’uud (ra), daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya:

“Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya (sifat) Takbur (walaupun) sebesar zarah. Lalu seorang lelaki bertanya: (Bagaimana dengan) orang yang suka berpakaian bagus dan bersepatu bagus? Maka jawab baginda: Sesungguhnya Allah itu cantik (sempurna), Dia suka kepada yang cantik (sempurna). (Adapun) takbur ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain.(Hadis Sahih Riwayat Muslim dan Tarmidzi)
RIYAK
                Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.
                Riyak adalah pemusnah amal ibadah dan Rasulullah menyamakan riak sebagai syirik paling halus seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Yang amat aku takuti ke atas kamu ialah syirik yang paling kecil. Kemudian Baginda ditanya mengenainya dan Baginda mengatakan, itulah riyak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
UJUB
                Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujud beerti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi  kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.
                Sikap ujub akan melahirkan pula sikap sombong dan dengan itu dia enggan menerima teguran orang lain sekalipun ia benar. Kedua-dua sikap ini merupakan sikap tercela yang tidak disukai oleh Allah. Allah berfirman, maksudnya:
                 “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.”
                                                                                               [Luqman, ayat 18]


Kasih akan dunia
                Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenangan  dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
            Maksudnya: Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Allah menciptakan tujuh malaikat sebelum menciptakan langit dan bumi. Kemudian, ditentukan setiap mereka untuk menjaga pintu-pintu langit. Pada setiap pintu ini, malaikat pembawa amalan akan ditahan oleh mereka untuk memastikan sama ada amalan manusia tersebut diterima dan dapat melalui ke pintu langit seterusnya ataupun sebaliknya.
LANGIT PERTAMA
                Malaikat membawa amalan seorang hamba yang mempunyai nur seperti cahaya matahari. Berkata malaikat penjaga pintu langit: “pukullah amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah menyuruhku supaya tidak membenarkan amalan orang yang mengumpat itu dapat naik ke langit seterusnya.”
LANGIT KEDUA
                Selepas berjaya melalui pintu langit pertama, malaikat itu sampai ke pintu langit kedua dengan membawa amalan yang dilihat baik dan banyak. Kata malaikat penjaga langit: “berhenti kamu dan pukul amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana dia berharap agar dengan amalannya dia mendapat keuntungan di dunia.”
LANGIT KETIGA
                Malaikat membawa amalan berupa pahala sedekah, solat dan puasa. Para malaikat kagum melihat amalan tersebut lalu dibawa melintasi langit pertama dan kedua. Tetapi ditahan di langit ketiga. Malaikat berkata: “Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takabbur dapat melintasiku. Orang itu suka membesarkan diri di majlis orang ramai.”
LANGIT KEEMPAT
                Amalan berupa tasbih, solat, puasa, haji dan umrah dibawa malaikat sehingga melepasi pintu langit keempat. Berkata malaikat: “Allah memerintahkan supaya amalan orang yang ujub tidak boleh melintasiku. Dia beramal dengan dorongan perasaan ujub dalam dirinya.”


LANGIT KELIMA
                Amalan yang dibawa berseri-seri, lalu berkata malaikat penjaga langit: “berhenti dan buangkan amalan ini pada orang yang mengerjakannya. Mereka sebenarnya hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya.”
LANGIT KEENAM
Malaikat membawa amalan solat, zakat, umrah, jihad dan puasa yang bercahaya seperti bulan purnama. Lalu berkata malaikat penjaga langit: “pukullah amalan ini kepada orang yang mengerjakannya kerana dia tiada belas kasihan kepada hamba-hambanya yang menghadapi kesusahan.”
LANGIT KETUJUH
                Berkata malaikat Sum’ah (ingin mahsyur): “aku akan menghalang orang yang riyak daripada sampai ke Tuhanku. Dia beramal bukan kerana mencari keredaan Allah tetapi supaya amalannya disebut-sebut.”
Ketika bertemu Allah SWT
                Kemudian, naik malaikat yang membawa amalan seorang hamba yang berupa solat, zakat, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam diri dan berzikir. Amalan ini dibawa oleh para malaikat penjaga langit sehingga dapat melintasi semua halangan dan sampai kepada Allah.

                Ketika itu, Allah berfirman yang bermaksud: “kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hamba-Ku ini. Aku lebih mengetahui segala isi hatinya. Dia tidak ikhlas kepada-Ku dengan malannya. Dia boleh menipu orang lain, menipu kamu tetapi tidak boleh menipu Aku.”
KESIMPULAN                                                                                                                                                                    

                Kesimpulannya di sini ialah jika seseorang itu sudah mengamalkan tuntutan Islam dan iman, maka belum tentu lagi ia menjadi seorang yang telah sempurna keimanannya kerana ia perlulah bersifat ihsan dalam setiap gerak langkah dan tindakan serta amalannya, kerana ihsan merupakan pergerakan atau pemangkin kepada tingkah laku manusia agar setiap amalan, perbuatan, percakapan dan niat adalah menepati kehendak syarak.
                 Ia melakukan sesuatu itu bukan atas dasar kepura-puraan, riak atau takbur, tetapi sebalinya ikhlas hanya kerana Allah semata-mata kerana ia tahu bahawa Allah sentiasa memerhatikannya zahir dan batin di setiap masa dan setiap tempat, tidak kira senang atau pun susah.
                                                                                  

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...