Daisypath Happy Birthday tickers

Tuesday, April 19, 2011

4 SOALAN DITANYA PADA HARI KIAMAT

Rasulullah saw bersabda, seperti yang diceritakan oleh Abi Barzah Nadhlah ‘Ubayd al-Aslamiy, yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal terhadap empat perkara. Mengenai umurnya, di manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke manakah dia belanjakan? Dan tubuh badannya, apakah yang sudah dia perbuat?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi (hadis ini bertaraf hasan sahih)

Rasulullah dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan Allah, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.

Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang dikurniakan Allah selama puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal salih bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itu pun selepas berada pada penghujung usia yang senja.

Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu? Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama 10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu tinggi?

Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawaban kita jika ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?

Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk, tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?

Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu? Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.”

Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah? Atau kita ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkai-Nya?

Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya dengan bantuan amal salih, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.

Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.

Monday, April 18, 2011

ADAKAH KITA IKHLAS?



Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita diterima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.

Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan
itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah.
Namun, ibarat kita hendak mengenal samada kita sudah terkena penyakit 'chicken pox' dsbnya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.

Antaranya:-

Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.
Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.
Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)
Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria', taajub, takabbur dan
seumpamanya. Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika diselimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt. Hatta mereka yang berperang di saff hadapan dan mati di medan
peperangan. Walau bagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak.

Kita hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Allah swt yang Maha Mengetahui dan hanya Allah swt sahajalah yang berhak membalas segala amalan. Samada amalan yang baik atau sebaliknya.

KEAJAIBAN KETIKA SUJUD

Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Dia adalah seorang doktor neurologi.

Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan Melalui Al-Qur'an". Kajian perubatan melalui Al-Qur'an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya.

Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.

Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang. Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah.

Jadi barang siapa yang tidak menunaikan sembahyang, akan otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.

Kesimpulannya: Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak bersembahyang, apatah lagi yang tidak beragama Islam, walau pun akal mereka berfungsi dengan secara normal tetapi sebenarnya dalam sesuatu keadaan mereka akan kehilangan pertimbangan dalam membuat keputusan yang normal. Justeru itu, tidak hairanlah jika manusia ini kadang kala tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya, walau pun akal mereka mengetahui bahawa perkara yang akan dilakukan itu adalah bersalahan dengan kehendak mereka. Inilah adalah kesan daripada ketidakupayaan otak mereka untuk mempertimbangkan akan perbuatan mereka itu secara lebih normal. Maka dengan itu tidak hairanlah timbulnya bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat masa kini.

Dari itu, marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar daripada kisah di atas. Ambillah Islam secara menyeluruh dan bukannya secara berdikit-dikit. "
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...